Faiz Abidin
9 min readJan 23, 2020

Cheese Cake.

“Harga?” Tanyaku.

​“RM 25 setengah kilo. RM 40 satu kilo.”

​“Okay. Buatkan untuk setengah kilo.” Balasku kepada Azman si pembuat kek melalui pesanan mesej ringkas internet, Whatsapp.

​Sudah hampir 7 orang aku hubungi melalui aplikasi Whatsapp untuk mendapatkan cheese cake dengan harga yang mampu. Hanya sekadar kek, sudah hampir seharian hari aku dihabiskan dengan hanya mencari kek yang harganya cukup mampu bagi pelajar universiti macam aku. RM25 tampak murah di mata orang yang berkerja. Tapi buat orang macam aku, itu sudah cukup buat perut aku berisi nasi selama 3 hari.

​Aku sejujurnya penggemar cheese cake juga, selalunya aku beli sepotong cheese cake Secret Recipe hanya untuk melunas nafsu. Tapi kek kali ni bukan kek sembarangan. Kek besar hari jadi untuk seseorang. Ya, seseorang yang boleh aku kata, aku sayang.

​Aku cuma harap dengan kek itu, aku bisa membuat harinya sedikit bahagia. Jujur aku tidak mampu bawa dia ke dinner ala fancy atas bukit atau tepi laut. Atau mungkin menghadiahkan dia iPhone jenis baru. Sungguh aku belum mampu memberi dia sebuah material. Sedangkan material untuk diri aku sendiri juga cukup-cukup makan. Apatah lagi untuk hadiah hari jadi untuk orang lain.

​“Hadiah.” Kataku perlahan. Sambil mengaru kepala dan merenung tajam ke arah skrin handphone aku. Aku terlupa lagi satu hal. Hadiah. Kek tadi mungkin hanya santapan untuk si Dia. Hadiah patutnya lain hal lagi.

​Aku jenis minat buku. Tak kira buku inggeris atau melayu. Fiksi atau kisah benar. Hampir semua genre aku beli dan baca. Mungkin aku patut bagi dia buku? Eh, dia minat baca buku atau tidak?

​Saat ini aku sedar satu hal. Nak bagi hadiah dengan orang perempuan bukannya senang. Nak belikan baju? Heh! Perempuan punyalah cerewet beli baju. Mak aku masuk butik makan masa 20 minit satu kedai. Itupun hanya round-round saja. Belum lagi kalau dah masuk fitting room.

​Aku menuju ke kedai buku. Penghawa dingin terlalu sejuk aku rasa. Aku rasa memang pekerja kedai buku tu sengaja turunkan suhu supaya orang tak roaming lama-lama dalam kedai atau erti kata lain, membaca dalam kedai.

​Dari buku melayu, buku unsur agama, majalah sampailah buku fiksi bahasa inggeris. Dari satu ke satu kawasan di kedai buku tu aku jalan dan cari buku apa yang sesuai untuk dia. Buntu.

​Tanpa sedar, aku sudah berada dalam kedai buku hampir satu jam. Terlalu banyak buku yang sesuai. Atau mungkin sebenarnya aku tak tahu nak pilih apa.

​‘Eh, yang ni okay ni.’

​‘No.’

​‘Tak, tak. Yang ni!’

​Hati sendiri berlawanan pendapat. Ah, sudah. Nak pilih buku pun susah. Ya la. Takut-takut tak kena dengan selera membaca dia.

​Akhirnya aku memilih satu buku yang pernah aku beli dulu. Tajuknya, ‘Now That I’ve Found You’ dari penulis bernama Ciara Geragthy. Cover buku berwarna biru tua-biru muda dengan tulisan tajuknya berwarna merah jambu. Aku suka buku ni. Tapi aku tak yakin akan dia suka. Dan semestinya aku tak yakin hadiah ni sama ada membahagiakan dia ataupun tidak. Lantak. Aku sudah penat pusing pening lagi. Kek setengah kilo harga RM25 itu pun sudah banyak peningkan kepala aku.

*****

​“Bro, kek dah siap.”

​“Oh okay. Mana saya boleh ambil?” dalam hati aku, ‘Habis! Aku mana ada duit! Kek dah siap cepat sangat!’

​Azman, si tukang buat kek memberikan lokasi pick up yang sesuai. Bila aku fikir-fikir, agak jauh juga sebenarnya. Dah la larut malam. Mana nak isi minyak kereta aku lagi. Memang payah la macam ni. Tapi tak apa. Demi si Dia.

​Aku singgah di bank berdekatan. Cucuk ATM dan mengeluarkan sisa duit aku yang terakhir. Sebenarnya itu duit emergency aku. Tapi tak apa. Situasi aku lagaknya sudah dikira emergency.

​Dari satu lorong ke satu lorong kedai aku teroka. Bandar terlalu luas sampaikan mana tempat yang tukang buat kek tu cakap, aku tak pasti di mana.

​Akhirnya kek bertukar tangan. RM 25 juga bertukar pemilik. Aku cuma harap kek ini stay dalam posisi. Tak cair dan tak hancur. Kedua, rasa dia sedap. Tolonglah.

​Alamak, aku lupa. Kek mudah cair. Takkan aku nak simpan dalam bilik? Cair itu satu hal. Kalau member bantai kek aku ni macam mana? Ah, sudah. Kalau tadi aku menghabiskan sejam hanya untuk buku. Kali ini aku pening mana nak cari freezer. Kalau ada freezer pun, sanggup ka dia bagi aku ruang untuk kek besar ni? Lagipun sekarang dah pukul 11.20 malam. Orang mana nak buka pintu peti ais dia untuk aku?

​Fikir punya fikir, aku contact kawan perempuan aku yang tinggal di rumah sewa dan mempuyai peti ais di rumah. Jumpa. Yang payahnya, tempat tinggal dia jauh dari lokasi aku tinggal. Masalah jarak sebenarnya bukan penghalang bagi aku yang berkereta. Tapi soal minyak nak ke hulu ke hilir. Aku student jadi memang nak isi RM 30 untuk minyak pun sudah berat hati.

​Tapi tak ada cara lain.

​Kek sudah disimpan. Selesai. Sekarang aku perlu pastikan semua berjalan lancar. Maksud aku, di hari jadi dia nanti. Aku risau-risau dia keluar dengan keluarga atau dengan kawan sekelas dia. Memang rosaklah plan aku. Kek dan hadiah yang aku mati-mati usahakan jadi sia-sia.

*****

​Hari ini merupakan hari jadi si Dia. Malam semalam aku rasa cukup perit. Dari beli buku untuk hadiah. Kemudian cucuk duit emergency aku kat mesin ATM untuk bayar kek dan isi minyak. Kemudian bagaikan memandu ke hujung dunia hanya untuk pastikan kek itu sejuk dan tidak rosak. Yang penting rasa dia sedap bila si Dia menjamah nanti. Hari itu hari yang bermakna buat dia. Maka aku ke pastikan kek itu sedap untuk dia. Aku kena pastikan hari ini, hampir sempurna.

​“Where are you, babe?” Kataku melalui pesanan mesej ringkas internet, Whatsapp.

​“Keluar dengan kawan ni. Kat Mall.” Balasnya dengan dihiasi dengan emoji kuning.

​Oh my god! See? Sikit saja swing dia, plan aku tak menjadi. Aku sengaja tak plan dengan dia. Sebab nanti tak surprise la. Mesti dia tahu kalau aku ajak dia keluar untuk hari jadi dia. Ah, sudah. Aku rasa tak keharuan. Binggung. Ada sedikit rasa kecewa.

​Tapi tak. apa. Ini bukan penamat misi nurani aku.

​“Can we go out for sunset? This evening?” Kataku sambil melihat ke arah jam kecil di telefon aku. Jam baru pukul 2 petang. Sekurang kurangnya aku kena keluar dengan dia jam 5 petang. Matahari akan turun jam 6.20 macam tu.

​ “I will text you kalau dapat, okay.” Balasnya.

​Itu pun sudah cukup buat aku rasa selesa sikit. At least, dalam hati kecil dia, dia mahu keluar bersama dengan aku kalau tiada halangan.

​Aku buntu. Sebenarnya waktu ini aku memikirkan kenapa aku buat ini semua untuk dia. Dia teman isitimewa aku? Bukan. Malah kami hanya kawan biasa. Kadang kala berjumpa. Texting pun hanya sekejap dan tidak seminggu penuh. Yang biasa kami lakukan hanyalah sering memberikan ‘Like’ di laman-laman sosial. Bila aku post sesuatu dia akan ‘Like’. Bila dia post sesuatu, aku akan berbuat benda yang sama.

​Sebenarnya banyak perkara yang tidak sama berlaku antara kami.

Satu, aku selalu stalk laman sosial dia. Tidak kira laman bergambar atau hanya himpunan kata-kata. Aku perhatikan semua. Cuba memahami diri dia bila tidak berkaitan dengan aku. Cuba fahami apa yang di taip di media sosial. Cuba melihat dunia melalui foto-foto yang dia kongsikan. Aku yakin dia tak buat benda yang sama dengan aku.

Kedua, perasaan. Aku jujur suka pada dia. Malah sebenarnya lebih dari itu. Aku sayangkan dia. Ingat aku bodoh nak susahkan diri untuk kek, buku dan semua ini hanya sebab kami kawan? No. Perasan aku lebih dari seorang kawan. Aku sayang dengan dia. Tapi aku tahu. Perasaan kami tidak sama. Tidak akan sesekali sama.

Aku mengelamun lama. Gila bukan? Cinta mereka kata bahagia. Tapi ini sudah serupa gila.

Aku bersiap. Memakai baju yang sedang-sedang, sepasang kasut dan memastikan aku tak tertinggal apa-apa.

Hadiah.

Aku lupa balut hadiah! Alamak! Sejak semalam aku tak terfikir nak balut novel yang aku belikan untuk dia! Tak apa. Rilek.

Aku memandu keluar dari kawasan kediaman. Aku perlu ambil kek, isi minyak dan sambil-sambil meredah kesesakan jalan raya, aku tunggu jawapan dia. Kalau jadi, maka aku amat bersyukur. Kalau tak, maka aku gagal.

Aku sebenarnya sudah lali dengan kegagalan bercinta. Cinta itu bagi aku sesuatu yang gagal. Tapi aku akan tetap mencuba. Cuba dan cuba.

Kek sudah aku ambil. Aku intip isinya. Masih sempurna. Syukur! Kemudian aku balut kek dengan selimut tebal yang bawa dari bilik aku. Balut dengan kemas supaya tidak rosak dan cair terkena cahaya matahari hari ini. Kek sudah selesai, hadiah yang tidak berbalut itu ada dalam beg dan kereta cukup minyak. Lengkap! Hari ini mesti sempurna.

*****

​Aku mengambil si dia di tempat dia belajar. Dia berjalan menuju aku dengan pakaian dress entah apa jenis yang berwarna hitam. Pakaian simple tapi menarik dari bahu sampai ke bawah lutut. Dikenakan dengan kasut jenis biasa juga berwarna hitam. Dari atas sampai bawah warna hitam. Oh, nampaknya kami tidak secocok hari ini.

“How are you for today, Babe?” Kataku membuka bicara. Dia memang cantik. I totally can’t deny that.

“I’m fine. Cuma penat sikit. Jalan-jalan sana sini. Nasib baik kita sempat.” Katanya.

Syukur sekali lagi, nampaknya dia gembira mahu bersama aku. Maksud aku, keluar bersama aku, melihat matahari terbenam.

Jalan masih sesak. Entah mengapa. Bagaikan semua orang sengaja melambatkan waktu. Sengaja biarkan. kami duduk dalam kereta dan bukannya pantai dengan matahari paras kepala.

Hari semakin senja. Tak boleh! Kepala aku berpusing-pusing memikirkan pantai yang terbaik. Yang terdekat dari tempat aku sekarang. Jam sudah pukul 6.11 petang. Hanya 9 minit dan entah beberapa saat lagi untuk mahatari mula menjadi jingga turun digaris bumi.

“Tak sempat la ni.” Kataku sambil menghembuskan nafas berat. Kaki aku dari tadi sudah sakit pijak clutch. Jalan cukup-cukup sesak.

“Hmmm.”

Hanya itu si dia balas. Aku tahu dia juga hampa. Ah! Aku teringat satu lokasi pantai terdekat. Malah lebih bersih dan clear view dari pantai yang ingin aku bawa dia. Aku terus menekan minyak dan memberi signal ke kanan. Aku ingin membelok ke kanan masuk ke satu simpang. Hanya berbaki beberapa minit untuk aku jejakkan kaki kami ke pasir pantai. Aku mesti.

Enjin berderum kuat. Biasa, kereta lelaki. Aku memecut bagaikan orang nak membuang air besar. Masuk ke pagar simpang pantai itu dan terus memandu ke pantai yang aku maksudkan.

Akhirnya kami sampai. Hanya berbaki 1 minit untuk matahari paras kepala. Matahari cantik kalau dia separas dengan kepala. Tidak tinggi dan tidak panas seperti tengah hari. Agak terbaik berbanding matahari sudah masuk ke garis bumi.

Si dia kelihatan gembira. Suasana cukup-cukup tenang. Matahari menjingga. Langit biru muda di sebelah atas. Tone warna yang cukup sempurna ditambah lagi dengan awan hancur dan tidak berkepul-kepul. Bagaikan dilukis dengan warna air. Sempurna!

Aku mengajak dia untuk ke gigi air. Ombak tidak terlalu besar. Jadi aku tidak risau kalau kami basah. Tak perlu membuka kasut pun.

Si dia mengeluarkan telefon bimbitnya. Gambar situasi itu. Manusia mana tak snap gambar pemandang indah dan tenang itu? Aku hanya memerharikan dia. Rambutnya terhurai perlahan. Matanya bercahaya memandang ke arah matahari. Kulitnya semakin cerah kuning efek dari cahaya suam sang matahari.

Indah. Dirinya sememangnya indah. Dia tidak pernah mencuri hati aku sebenarnya. Tapi cukup diri dan personaliti serdahananya sudah cukup membuat aku berasa suam dan melayang jauh. Cinta mereka kata indah. Tapi ini sudah serupa gila.

Aku bergerak ke kereta, tinggalkan dia sebentar. Membuka lipatan selimut, buka lipatan kek berwarna merah jambu. Aku membawa kek ke arah si dia yang masih menghadap matahari terbenam dan pantai yang tenang.

“Babe?” Kataku.

Dia menoleh aku. Kemudian anak matanya memandang ke arah kek keju putih gebu dengan ceri sebesar guli di atasnya yang terhidang di tanganku. Dia menutup mulutnya. Reaksi terkejut.

“Selamat Hari Lahir, Babe.” Kataku perlahan. Sambil tangan kanan menghulurkan pisau kek plastik berwarna merah jambu.

“Semoga panjang umur, murah rezeki.” Sambungku.

Si dia masih berdiri statik. Mungkin masih terkejut.

“Come here, princess. Potong kek kau ni!” Kataku ceria.

Jujur aku tidak pernah lihat dia gembira seperti itu selama kami kenal. Matanya makin bersinar. Air mata kecil keluar dari mata. Dia terharu barang kali. Dalam hati aku bersyukur semuanya berjalan lancar. Hari ini hari dia. Hari istimewa untuk dia dan aku berbangga aku buat sesuatu untuk dia.

Kek dipotong dan kami terus ke kereta. Duduk dan makan bersama. Suap menyuap. Makan kek tanpa sudu. Aku sengaja tak bawa sudu. Kenangan tak seharusnya lengkap dengan pelbagai peralatan. Gelak tawa dan bertukar cerita. Hari ini sempurna.

Buku novel ‘Now That I’ve Found You’ aku serahkan pada dia. Ya, tajuk novel itu sendiri pun sebenarnya satu mesej buat dia. Aku sudah jumpa dia. Dia yang telah curi hati aku tanpa dia sengaja.

Hari ini hari dia. Hari istimewa buat dia. Bukannya persediaan yang sempurna tapi itu saja aku mampu beri untuk dia.

Hari ini hari dia. Sampai hari ini aku gagal memenangi hati dia.

*TAMAT*

Ditulis pada : 9 September 2015 untuk Terfaktab Media.

No responses yet